Dear Visitors. Kindly noted that, we will only able to publish the comment which is related to the topic. Thank You.
Custom Search

Sunday, September 7, 2008

Kerajaan tidak abai pembangunan kaum India

Source : Utusan Malaysia
IPOH 6 Sept. - Kerajaan tidak pernah mengabaikan program pembangunan untuk masyarakat India di negara ini termasuk dalam bidang pendidikan kerana tidak mahu mereka terpinggir daripada arus pembangunan negara.Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah berkata, peruntukan bagi program berkenaan akan disampaikan menerusi pelbagai pihak termasuk daripada Ahli Parlimen di kawasan masing-masing.
''Sebagai contoh bagi kawasan Parlimen Tambun, kita telah mengagihkan peruntukan sebanyak RM165,000 bagi pembangunan masyarakat India di kawasan ini termasuk melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah-sekolah Tamil," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan khas Ahli Parlimen Tambun untuk Program Motivasi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di sini hari ini.
Sekolah-sekolah yang terlibat dalam program berkenaan adalah SJKT Klebang, SJKT Ladang Chemor, SJKT Tanjung Rambutan, SJKT Changkat Kinding dan SJKT Strathisla.
Dalam majlis yang sama, Ahmad Husni turut mengagihkan peruntukan sebanyak RM42,000 kepada 14 NGO yang aktif di kawasan Parlimen Tambun.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, setiap sekolah terlibat akan menerima peruntukan sebanyak RM3,000 bagi tujuan mengadakan program motivasi supaya anak-anak muda kaum India terus bersemangat menimba ilmu.
''Ilmu merupakan teras kepada pembangunan sesuatu kaum dan setiap individu di negara ini diwajibkan pergi ke sekolah supaya mereka berpeluang menikmati kehidupan yang lebih baik.
''Peruntukan ini merupakan galakan kepada mereka untuk terus mendalami ilmu pengetahuan kerana tanpa motivasi yang cukup, agak sukar bagi mereka melanjutkan pelajaran sehingga ke tahap tertinggi," katanya.
Menurut Ahmad Husni, sebanyak tiga buah sekolah Tamil yang masih merekodkan pencapaian akademik tidak memuaskan telah diberi peruntukan sebanyak RM5,000 bagi mengadakan program motivasi lebih komprehensif.

No comments: